Monday, January 11, 2010

Kenyataan Media Dari YB Dato Seri Anwar Ibrahim.

Kami mengecam serangan ke atas saudara kami penganut agama Kristian dan ke atas beberapa gereja di Malaysia. Serangan terbaru ke atas All Saints Church di Taiping juga merupakan satu serangan terhadap salah satu warisan negara.

Sebagai sebuah negara kita masih bergelut untuk menjunjung semangat perpaduan yang dicita-citakan oleh pejuang kemerdekaan negara ini. Saya menyeru agar kita semua akur dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama dan hak penganut agama-agama itu untuk menjaga hal ehwal agama mereka masing-masing. Ketika ini semangat musyawarah dan dialog mestilah mengatasi suara-suara mereka yang mahu memecah belahkan kerukunan rakyat serta meniup api permusuhan di negara ini.

Rakyat Malaysia mestilah bersatu menentang mereka yang mahu memperalatkan sentimen perkauman sempit dan agama untuk menyemarakkan kebencian demi laba politik puak-puak tertentu. Kita mestilah memperkukuh tekad mempertahan kebebasan beragama.
Kejadian ini merupakan satu ujian terhadap keazaman semua agama dan kepercayaan yang mahukan keamanan dan rasa saling hormat menghormati. Kita seharusnya sedar Tuhan yang kita sembah merupakan, Tuhan yang sama, Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Sejarah menunjukkan kepada kita selama 14 abad ini, Muslim yang bertutur dalam bahasa Arab, penganut Kristian dan bangsa Yahudi, masing-masing menyembah Tuhan yang dikenal sebagai Allah. Sementara diakui keresahan umat Islam di Malaysia terhadap penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut agama lainnya, tindakan seumpama menyerang gereja dan mengadakan protes hanya membantut usaha mencari penyelesaian. Jalan terbaik adalah melalui rundingan dan dialog antara agama.

Saya mengajak umat Islam untuk kembali kepada ayat al Quran yang menyeru kita untuk hidup dalam kerukunan dan saling mengenali di antara agama.

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah " (Ali-Imran, 3:64)

Dan sepertimana yang termaktub di dalam surah al- Ankabut:

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri (al-Ankabut, 29:46)

Nabi Isa al Masih merupakan antara Rasul Ulul Azmi yang begitu dikasihi umat Islam. Saidina Umar r.a yang melawati Gereja Holy Sepulcher pada tahun 638 masehi, menggesa umat Islam untuk menghormati tempat peribadatan dan suci penganut agama Kristian. Oleh itu adalah tidak munasabah apabila pihak Polis teragak-agak untuk memberi jaminan keselamatan kepada gereja-gereja di seluruh negara.

Api kebencian ini bolehlah ditudingkan kepada kegagalan Barisan Nasional yang diketuai Umno. Propaganda Umno yang berteraskan perkauman sempit terutamanya apabila berhadapan dengan isu penggunaan kalimah Allah serta retorika media yang dikongkong kerajaan, seperti Utusan Malaysia, yang meniupkan api kebencian, sewajarnya dipersalahkan berikutan dari serangan tersebut. Provokasi mereka bukan sahaja salah dari sudut undang-undang malah menzahirkan kempen 1Malaysia yang tidak tuntas serta bermuka-muka.

Walaubagaimanapun saya terharu dan gembira kerana serangan tersebut dikecam keras oleh organisasi Islam dan pimpinan umat. Saya juga menyambut baik saranan wakil-wakil penganut Kristian yang menyeru agar sentiasa bertenang dan menolak sebarang tindakan pembalasan serta keganasan.

Kejadian mutakhir ini menuntut kita agar segera memberi perhatian terhadap keperluan dialog antara agama. Semangat persaudaraan yang disarankan agama kita serta Perlembagaan Persekutuan perlu disemarakkan. Pakatan Rakyat akan berusaha memastikan dialog dan rundingan diadakan di semua peringkat seluruh negara. Saudara kita yang beragama Kristian perlu merasa selamat dan aman serta sedar bahawa kebebasan mereka untuk beragama adalah dijamin di negara ini.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang

No comments:

Post a Comment